AGENDA

Monsun Barat Daya dijangka bermula 15 Mei, taburan hujan lebih rendah

9 Mei 2023, 4:32 AM
Monsun Barat Daya dijangka bermula 15 Mei, taburan hujan lebih rendah

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

“Dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar, orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Orang ramai boleh mengakses maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi hotline MetMalaysia 1-300-22- 1638 bagi pertanyaan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619