AGENDA

JAS siap siaga tangani isu pembakaran terbuka, tingkat pemantauan, ambil tindakan

7 Mei 2023, 8:58 AM
JAS siap siaga tangani isu pembakaran terbuka, tingkat pemantauan, ambil tindakan

PUTRAJAYA, 7 MEI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah bersiap siaga dan mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu pembakaran terbuka yang merupakan antara punca menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan keadaan jerebu setempat yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Menurut jabatan itu dalam tempoh monsun barat daya yang biasanya bermula pertengahan Mei hingga September, kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Dalam tempoh cuaca kering ini, dikhuatiri kejadian pembakaran terbuka akan berlaku peningkatan terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Walaupun tidak dinafikan bahawa pelepasan daripada aktiviti perindustrian dan kenderaan bermotor turut menyumbangkan kepada kemerosotan udara terutama di kawasan Lembah Klang dan perindustrian, namun daripada analisis dan rekod JAS, ia menunjukkan bahawa pembakaran terbuka biojisim (biomass) adalah punca utama yang menyebabkan jerebu tempatan.

JAS turut memaklumkan beberapa langkah persediaan diambil bagi menangani kejadian kebakaran daripada berlaku, antaranya meningkatkan pemantauan dan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan dron.

JAS berkata tindakan tegas akan diambil bagi kawasan kebakaran yang telah berlaku dan pihaknya akan mengenal pasti pemilik tanah kawasan kebakaran yang terlibat untuk tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Di bawah Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka akan dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

JAS juga meminta orang ramai melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727, manakala sebarang kes kebakaran yang berlaku di kawasan perumahan perlu dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Selain itu jabatan berkenaan turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi mengawal kes kebakaran yang berlaku, selain sentiasa memantau bacaan dan trend Indeks Pencemar Udara (IPU) stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan lanjut.

Katanya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 2 April 2023 yang melibatkan tindakan oleh agensi berkaitan melibatkan jabatan dan kementerian lain dalam pemantauan, pencegahan dan pemadaman pembakaran terbuka di dalam negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619