EXCO

Kerajaan Negeri adakan dialog dengan pengusaha tapak perkhemahan Jun atau Julai

6 Mei 2023, 3:21 PM
Kerajaan Negeri adakan dialog dengan pengusaha tapak perkhemahan Jun atau Julai

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 MEI: Pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini diminta tidak takut untuk mendaftar perniagaan mereka dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak berniat menutup atau menarik lesen perniagaan mereka sebaliknya ingin memastikan keselamatan di tapak perkhemahan terjamin untuk pelancong yang datang berkhemah.

"Kita minta daftar supaya jika berlaku apa-apa kita boleh segera bantu tetapi mereka takut penguat kuasa datang periksa tempat mereka.

"Penguat kuasa datang hanya untuk periksa keselamatan di kawasan tersebut dan bagi cadangan jika lokasi di situ didapati kurang sesuai pindah ke tempat lebih selamat, bukan nak terus tutup atau tarik lesen mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12 di sini hari ini.

Sehubungan itu Loy Sian berkata pihaknya akan mengadakan satu lagi sesi dialog dengan pengusaha tapak perkhemahan Jun atau Julai ini supaya mereka faham keutamaan Kerajaan Negeri adalah keselamatan pelancong.

Ditanya jumlah pengusaha tapak perkhemahan yang berdaftar di setiap PBT setakat ini, beliau berkata angka itu masih belum diperolehi.

Bermula 1 Februari lalu, semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diwajibkan berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Keputusan itu dibuat susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Disember tahun lalu, yang mengorbankan 31 nyawa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619