AGENDA

Sukan SEA: Skuad karate hadiah dua emas pertama negara

6 Mei 2023, 11:42 AM
Sukan SEA: Skuad karate hadiah dua emas pertama negara

PHNOM PENH, 6 MEI: Skuad karate memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan bergaya selepas merangkul dua emas pertama negara di sini.

Juara bertahan C Shahmalarani menyumbang emas sulung negara dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) selepas menumpaskan juara Sukan Dunia 2022 dari Filipina Junna Tsukii Villanueva pada aksi di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.

Walaupun Villanueva mendahului 1-0 di awal permainan namun Shahmalarani berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 apabila jurulatih Malaysia Tamel Abdelraof meminta semakan video selepas anak buahnya itu dilihat melakukan yuko (tumbukan) ke arah lawan.

Bagaimanapun, Shahmalarani diisytiharkan juara oleh pengadil selepas gerakan atlet negara itu lebih agresif di dalam gelanggang berbanding musuhnya.

Sejurus kemudian, giliran juara edisi 2019, S Prem Kumar pula menghadiahkan emas kedua negara, kali ini dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.

Prem Kumar, yang bertarung dalam kesakitan akibat kecederaan di pergelangan tangan kiri, mendapat mata pertama sebelum ketinggalan 3-1 dalam aksi penuh sengit menentang wakil Thailand, Chanphet Setthaphong.

Namun atlet Malaysia itu menampilkan semangat juang tinggi apabila berjaya meraih dua mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 3-3 hingga ke penghujung pertarungan dan diangkat sebagai pemenang selepas memperoleh mata terlebih dahulu ke atas Setthaphong.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619