AGENDA

KPDN benteras aktiviti sorok, seludup gula di Kelantan, Terengganu

3 Mei 2023, 9:34 AM
KPDN benteras aktiviti sorok, seludup gula di Kelantan, Terengganu

KUALA NERUS, 3 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Manis khusus bagi menangani isu kekurangan gula di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata operasi khas di dua negeri itu dilaksanakan selama seminggu bermula hari ini.

Beliau berkata antara objektif lain Op Manis ialah bagi memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh penjual tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan bahan itu di pasaran.

"Op Manis juga kita tumpu untuk lihat jika ada elemen menyorok gula oleh penjual dan aktiviti penyeludupan di sempadan Kelantan.

"Pasukan penguat kuasa KPDN di Kelantan dan Terengganu akan buat pemantauan secara terperinci bagi memastikan bekalan gula sampai kepada pengguna seperti dijadualkan," katanya ketika ditemui pemberita semasa memantau bekalan gula di sebuah gudang pemborong di Gong Badak di sini hari ini.

Menurut Azman, masalah kekurangan gula yang dilaporkan berlaku hampir dua minggu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Beliau berkata syarikat pemborong di Kelantan dan Terengganu sudah mula menerima bekalan daripada dua syarikat pengilang gula iaitu MSM dan CSR.

Justeru, beliau mengingatkan pemborong supaya mengagihkan bekalan dengan cepat termasuk di kawasan luar bandar.

"Pemborong yang dapat bekalan (gula) tolong edar dengan segera dan beri penekanan kepada pelanggan biasa. Peruncit pula jangan sorok bekalan dan jual dengan harga tinggi seperti di Kelantan.

"Kita dah ambil tindakan kes terhadap premis di Kelantan yang melakukan kesalahan tersebut," katanya.

Katanya, KPDN menerima 11 aduan atas pelbagai kesalahan termasuk menyorok bekalan, menjual dengan harga mahal dan sebagainya di Kelantan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619