AGENDA

Norza kini presiden kehormat Badminton Asia bagi penggal 2023-2027

29 Apr 2023, 2:37 PM
Norza kini presiden kehormat Badminton Asia bagi penggal 2023-2027

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai Presiden kehormat Badminton Asia (BA) bagi penggal 2023-2027.

Pemilihan Norza diumumkan oleh presiden baharu BA Kim Jong Soo dari Korea Selatan, selepas persetujuan sebulat suara daripada perwakilan dan barisan kempimpinan BA pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan serantau itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Menurut kenyataan BAM, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh memenangi jawatan Setiausaha Agung BA pada pemilihan tersebut.

Bagaimanapun, BAM tidak menjelaskan butiran berhubung jumlah undi atau calon pada pemilihan tersebut.

Menurut laman web BA, jawatan presiden menyaksikan pertandingan antara Kim dan AliJah Almarri dari Kuwait manakala Kenny dicabar oleh Armand Darmadji (Indonesia), Omar Mohammad Bani Hani (Jordan) dan Ng Yoke Weng dari Singapura.

“Pelantikan Presiden BAM adalah sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan besar beliau kepada sukan itu di Asia. Norza adalah rakyat Malaysia pertama yang menyandang jawatan Presiden Kehormat,” menurut BAM.

Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam, pelantikan itu secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada BA berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan Norza dalam bidang pemasaran, penajaan, penganjuran acara dan pembangunan badminton.

“Kami menyambut baik pelantikan itu dan mengucapkan tahniah kepada Norza bagi pihak Majlis BAM dan semua ahli gabungannya,” katanya dalam kenyataan tersebut. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619