AGENDA

2,188 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan buat peniaga bazar Ramadan

20 Apr 2023, 8:22 AM
2,188 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan buat peniaga bazar Ramadan

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 2,188 notis bernilai RM197,600 semasa pemeriksaan terhadap 51,849 premis bazar Ramadan di 640 lokaliti seluruh negara menerusi Ops Kebersihan dan Keselamatan Bazar Ramadan 2023 bagi tempoh 23 Mac hingga 16 April.

KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan itu melibatkan pelbagai kesalahan yang melanggar Seksyen 32B Akta Makanan 1983.

Kesalahan terbabit antaranya tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan tidak mematuhi pakaian pengendali makanan.

KKM turut mengeluarkan arahan penutupan terhadap 14 premis makanan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Bagi pengendali makanan, KKM berkata seramai 104,755 pengendali makanan telah diperiksa dengan 93 peratus atau 96,911 pengendali makanan mempunyai suntikan anti-tifoid dan 84 peratus atau 87,832 pengendali makanan telah menghadiri latihan pengendali makanan.

KKM berkata empat notis kompaun atas kesalahan tidak mematuhi pakaian pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada peniaga di bazar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.

“Tapak bazar Ramadan UiTM Segamat juga telah diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata sehingga 18 April lepas, sebanyak 17 aduan berkaitan makanan di bazar Ramadan diterima dengan 15 aduan telah selesai disiasat manakala dua masih dalam proses siasatan.

“Tindakan pembetulan serta nasihat telah diberikan kepada pengusaha premis yang terlibat,” menurut KKM.

Bagi kejadian keracunan makanan pula, KKM memaklumkan sehingga 13 April lepas, sebanyak dua laporan telah diterima melibatkan keracunan makanan yang dibeli di bazar Ramadan.

KKM berkata kedua-dua kejadian itu berlaku selepas pengadu membeli juadah berbuka di bazar Ramadan Asia City, Kota Kinabalu, Sabah dan bazar Ramadan UiTM Segamat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619