AGENDA

Aidilfitri: Aliran trafik di Gua Musang perlahan, tapi terkawal

19 Apr 2023, 12:48 PM
Aidilfitri: Aliran trafik di Gua Musang perlahan, tapi terkawal

GUA MUSANG, 19 APRIL: Kenderaan perantau yang pulang untuk bercuti ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mula membanjiri laluan masuk ke Kelantan melalui daerah ini seawal jam 7 pagi ini.

Menerusi tinjauan di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis mendapati, jumlah kenderaan bertambah dan aliran trafik mula perlahan tetapi pada masa yang sama bergerak dengan lancar serta masih terkawal.

Pengguna jalan raya, Atiqah Kamalia Yahya, 30, berkata beliau bertolak dari Shah Alam, Selangor, pada jam 11 malam tadi dan tiba di sini dalam tempoh lima jam.

“Pada mulanya saya risau terperangkap dalam kesesakan terutama di Gua Musang setelah melihat rakan-rakan memuat turun mengena situasi trafik apabila jalan utama dilencongkan kepada jalan lama sebagai laluan alternatif di laman Facebook

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana tidak terperangkap dalam kesesakan, biarpun pergerakan didapati menjadi agak perlahan mungkin kerana perantau tidak biasa melalui laluan lencongan yang baharu,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun pekerja swasta, Rozaihad Rosli, 35, berkata beliau terperangkap dalam kesesakan bermula dari Merapoh, Pahang berlarutan sehingga ke jalan alternatif Gua Musang.

“Aliran trafik sesak dengan teruk bermula di Merapoh- Gua Musang, namun kenderaan mula bergerak lancar selepas melalui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang apabila laluan satu lorong menjadi dua lorong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo, berkata hasil pemantauan yang dijalankan bahagian trafik IPD mendapati bilangan kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala masuk ke Kelantan mengalami pertambahan dan dijangka lebih banyak kenderaan pada petang ini atau esok.

“Kami menasihatkan pengguna jalan raya supaya bersabar dalam menghadapi situasi kesesakan lalu lintas di daerah Gua Musang serta perlu berhati-hati, selain memastikan kenderaan masing-masing diselenggara sebelum bergerak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619