AGENDA

Semua saman trafik layak diskaun kecuali dalam perbicaraan mahkamah

19 Apr 2023, 7:15 AM
Semua saman trafik layak diskaun kecuali dalam perbicaraan mahkamah

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati Kadar Khas Bayaran Saman RM50 kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana ia merupakan luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata tawaran yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berbeza daripada tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60 peratus sempena Peringatan Hari Polis ke-216 baru-baru ini.

Beliau berkata diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran.

“Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri semalam ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60 peratus itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.

“Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mat Kasim berkata PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.

Semalam, Anwar mengumumkan Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 bagi semua saman trafik tahun 2022 dan sebelumnya, bermula 21 April hingga 21 Mei.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619