AGENDA

Aktiviti luar bilik darjah dibatalkan jika bacaan IPU tidak sihat

18 Apr 2023, 7:28 AM
Aktiviti luar bilik darjah dibatalkan jika bacaan IPU tidak sihat

SEREMBAN, 18 APRIL: Pihak sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 101, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata tindakan itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada Kementerian Pendidikan (KPM) dan surat pekeliling turut dikeluarkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tindakan lanjut.

“Sekiranya bacaan IPU meningkat hingga 200 ke atas KPM akan mengarahkan sekolah ditutup. Bacaan IPU 101 ke atas adalah tidak sihat, jadi jika ia berlaku sebarang aktiviti di luar bilik darjah tidak dibenarkan.

“Pada masa sekarang semua pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka, kerap minum air serta mengurangkan aktiviti ketika cuaca panas,” katanya ditemui selepas melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Kampung Baru Rahang di sini hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding dalam tempoh tiga tahun lepas apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.

Terdahulu, Lim turut melawat SJK Tamil (T) Lobak dan SJK (C) San Min bagi menyampaikan bantuan RM200,000 bagi setiap sekolah tersebut untuk pembangunan dan penyelenggaraan perluasan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Lim berkata terdapat 4,620 sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) sama ada susur landai, susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU.

“KPM sedang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawainya bagi pemantauan secara berkesan serta berterusan demi memastikan semua sekolah dilengkapi kemudahan dan infrastruktur yang bersesuaian untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) selaras dengan piawaian ditetapkan,” katanya.

Menurutnya KPM juga menyediakan laluan khas bagi calon MBPK mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk keperluan di sekolah rendah.

“Calon MBPK yang ingin memohon hendaklah sihat tubuh badan, boleh mengurus diri sendiri, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Katanya seramai 62 graduan dalam bidang Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran akan menamatkan pengajian di IPG pada Mei ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619