AGENDA

Raja Muda berkenan serah sumbangan Yide kepada 585 anak yatim

15 Apr 2023, 8:20 AM
Raja Muda berkenan serah sumbangan Yide kepada 585 anak yatim

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 15 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 585 anak yatim di Masjid Kota Damansara di sini, hari ini.

Menerusi sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), kesemua anak yatim sekitar daerah Petaling menerima RM150 setiap seorang.

Dalam majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menerima sumbangan untuk pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yide berjumlah RM205,000, dana pusat dialisis (RM400,000) dan perbelanjaan anak yatim (RM20,000).

Baginda juga menyerahkan sijil penghargaan kepada Ketua Sahabat Prihatin Yide (KSPY) daerah Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

KSPY adalah wakil Yide di lapangan dalam membantu melaksanakan kutipan Kupon Infak Yatim Yide dan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan anak-anak yatim dan kejadian bencana.

Sementara itu, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor berkata jumlah keseluruhan anak yatim daerah Petaling yang sepatutnya menerima sumbangan tersebut adalah 1,636 orang membabitkan peruntukan keseluruhan RM245,400.

Menurut beliau sumbangan untuk 1,051 anak yatim yang tidak hadir akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

"Diharap anak-anak yatim yang kita raikan terus diberi rezeki yang melimpah bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi juga di bulan yang lain.

"Menjunjung kasih di atas keprihatinan DYTM Raja Muda Selangor yang tidak pernah jemu mencemar duli untuk bertemu anak-anak yatim,” katanya.

Tambah Mazlan, jumlah keseluruhan anak yatim yang  menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yide pada Ramadan ini adalah 9,081 orang dengan nilai RM1.4 juta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619