AGENDA

Polis: Dua tahanan lolos ditangkap semula tempoh 24 jam

12 Apr 2023, 7:31 AM
Polis: Dua tahanan lolos ditangkap semula tempoh 24 jam

JOHOR BAHRU, 12 APRIL:  Polis berjaya menahan semula dua tahanan lelaki warga Indonesia yang melarikan diri semalam ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kedua-dua tahanan itu, Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36, dijumpai dalam tempoh 24 jam di dua lokasi berasingan di sekitar Jalan Felda Inas-Kulai.

Tok berkata jarak antara kedua-dua lokasi ditemui dianggarkan 1.5 kilometer, dan kedua-dua tahanan tersebut telah menukar baju lokap yang dipakai dengan t-shirt dan seluar jeans, dipercayai dicuri.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Risikan dan Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah membuat tangkapan ke atas Riki Rinaldi, di sebuah pondok di kebun sayur Sengkang, Jalan Felda Inas - Kulai, pada 10.35 malam tadi.

"Sementara, Samirudin, ditahan di sebuah pondok di kebun sayur Taman Saga, Jalan Felda Inas- Kulai, dalam serbuan yang dilakukan pada 10.40 pagi tadi. Kedua-dua tahanan itu mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun daripada van untuk meloloskan diri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tok berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

"Riki Rinaldi akan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, manakala reman bagi Samirudin akan dipohon esok," katanya.

Media melaporkan polis sedang memburu dua tahanan lelaki warganegara Indonesia yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, pagi semalam.

Ketika kejadian, mereka bersama dua lagi tahanan warganegara Indonesia sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Ledang setelah didakwa di Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, pada pukul 8 pagi semalam.

Kesemua mereka ditangkap oleh pihak penguat kuasa Maritim Malaysia kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619