AGENDA

Mahkamah Rayuan bebaskan kerani tuduhan memandu secara melulu kes basikal lajak

11 Apr 2023, 7:29 AM
Mahkamah Rayuan bebaskan kerani tuduhan memandu secara melulu kes basikal lajak

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan dan melepaskan kerani wanita, Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu yang mengorbankan lapan remaja penunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdulah, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan rayuan Sam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan itu.

Hadhariah berkata sabitan Sam kerana memandu secara melulu tidak boleh bertahan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ada kekurangan.

Hakim itu berkata terdapat penggandaan kesalahan dalam pertuduhan itu iaitu melakukan pemanduan secara melulu dan memandu secara berbahaya.

Beliau berkata Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa pertuduhan mesti mempunyai satu kesalahan dan jelas pertuduhan terhadap Sam melanggar peruntukan tersebut.

“Kamu bebas sekarang,” kata Hadhariah kepada Sam yang berdiri di tempat tertuduh.

Hakim itu berkata mahkamah bersimpati dengan keluarga lapan mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan itu tetapi keputusan sesuatu kes haruslah dibuat mengikut undang-undang dan mengikut keterangan yang ada di mahkamah.

Sementara itu di luar mahkamah, Sam memohon maaf kepada ibu bapa lapan remaja yang maut dalam kemalangan itu dan berkata dia tidak berniat menyebabkan kemalangan tersebut.

Dia berkata dia tahu permohonan maafnya tidak akan membawa kembali remaja itu dan tidak dapat mengubat duka serta memberi ketenangan kepada ibu bapa mereka.

"Saya akan membawa perasaan (bersalah) ini sehingga ke kubur," katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.

Pada 18 November 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian remaja itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Februari 2017 .

Pada 18 Februari 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menyerahkan semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk Sam membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu.

Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret membebaskan dan melepaskan Sam pada akhir kes pembelaan. Pihak pendakwaan kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan Sam terhadap kesalahan memandu secara melulu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000. Dia kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sam diwakili sepasukan peguam termasuk Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Harvinderjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Abdul Rahman dan Muhamad Syafiq Mohd Ghazali mewakili pendakwaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619