AGENDA

Dakwaan keluasan tanah rizab Melayu Selangor menurun adalah fitnah

10 Apr 2023, 2:21 PM
Dakwaan keluasan tanah rizab Melayu Selangor menurun adalah fitnah

SHAH ALAM, 10 APRIL: Dakwaan Pas Selangor bahawa jumlah keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu telah menurun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 adalah fitnah kerana tidak menepati fakta.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli berkata secara faktanya, keluasan tanah rizab Melayu Selangor berjumlah 160,233.86 hektar (395,946.50 ekar) pada 2013.

“Sejak Pas tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor mulai 2018, keluasan tanah rizab Melayu Selangor telah meningkat secara strategik kepada 162,657.71 hektar (401,935.96 ekar) pada 2019 dan sebanyak 163,138.24 hektar (403,123.39 ekar) pada 2021.

“Ini bermaksud keluasan tanah rizab Melayu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan Selangor telah meningkat 2,904.38 hektar (7,176.89 ekar) termasuk pewartaan di kawasan Hilir Tambahan-Hulu Langat, Kundang-Kuala Langat, Selayang Pindah-Gombak, Ulu Semenyih-Hulu Langat dan Bukit Cherakah-Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati itu berkata Kerajaan Selangor terus komited untuk memelihara keluasan tanah rizab Melayu agar dipantau secara rapi melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Beliau berkata Pas wajar memohon maaf kerana cuba memfitnah dan menipu warga Selangor serta harus muhasabah serta mengelak daripada amalan tercela dengan menyebar fitnah, terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Juwairiya berkata demikian mengulas berhubung dakwaan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi yang mendakwa jumlah keluasan tanah rizab Melayu telah menurun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar di sebuah portal berita hari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619