AGENDA

Permohonan pengambilan khas guru dibuka mulai hari ini, tiada tarikh tutup

7 Apr 2023, 6:45 AM
Permohonan pengambilan khas guru dibuka mulai hari ini, tiada tarikh tutup

IPOH, 7 APRIL: Permohonan bagi pengambilan khas guru menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dibuka mulai hari ini untuk menampung kekurangan sumber pengajar di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata siswazah berminat boleh membuat permohonan mengisi kekosongan itu terutamanya dalam empat mata pelajaran kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

“Graduan sama ada bidang pendidikan atau bukan pendidikan juga boleh membuat permohonan sekiranya berminat menjadi guru atau guru sementara.

“Mereka boleh membuat permohonan melalui laman web dan kita harap pengambilan ini boleh mengatasi kekurangan guru di seluruh negara terutama dalam mata pelajaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini hari ini.

Beliau berkata tiada tarikh tutup ditetapkan buat masa ini dan mereka yang pernah memohon sebelum ini tetapi tidak berjaya boleh mengemukakan semula permohonan mengikut opsyen mata pelajaran diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dilaporkan kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Dalam pada itu, Lim berkata kira-kira 1,000 pelajar menghadiri Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di sekolah berkenaan bermula 9 pagi tadi yang dianjurkan dengan kerjasama KPM dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia dan Gabungan Lembaga Pengelola Sekolah Malaysia.

Katanya tujuan utama pameran itu ialah menyediakan platform bagi pelajar sekolah menengah, khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengetahui tawaran atau peluang disediakan kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bersesuaian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619