AGENDA

Malaysia kutuk serangan tentera Israel terhadap jemaah di Masjid Al-Aqsa

6 Apr 2023, 4:58 AM
Malaysia kutuk serangan tentera Israel terhadap jemaah di Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu.

"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan mereka segera membebaskan semua tahanan Palestin," menurut kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera dan ratusan lain ditahan.

Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan.

"Malaysia teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam," menurut kenyataan itu.

Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.

Menurut laporan media, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melepaskan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.

Terdahulu, pada awal Rabu, polis Israel menyerang penduduk Palestin di dalam dewan solat dan menahan 350 jemaah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619