AGENDA

Masalah kesuburan lelaki di Malaysia membimbangkan, kadar kelahiran menurun

5 Apr 2023, 4:31 AM
Masalah kesuburan lelaki di Malaysia membimbangkan, kadar kelahiran menurun

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Masalah kesuburan kaum lelaki di negara ini berada pada tahap membimbangkan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata ia berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) yang mendapati 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

“Perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

“Pada masa yang sama kadar kelahiran di negara kita juga menunjukkan trend penurunan sejak 40 tahun lepas dan ia berkait rapat dengan kadar kesuburan dengan data 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 1.7 orang anak bagi setiap wanita berkahwin,” katanya.

Aiman Athirah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tentang tindakan kementerian dalam menghadapi penurunan kadar kelahiran di negara ini, pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Katanya, sebagai langkah produktif kerajaan telah mewujudukan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang mula beroperasi Oktober tahun lalu di Klinik Subfertiliti LPPKN di ibu negara dan akan diperluas ke enam lagi Klinik LPPKN di seluruh Semenanjung dan Sarawak tahun ini.

“Klinik ini menawarkan perkhidmatan ujian saringan kesihatan lelaki, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan hidup sihat serta rawatan ubatan untuk meningkatkan kesuburan.

“Dalam usaha bantu pasangan berkahwin tangani masalah kesuburan, LPPKN ada menawarkan rawatan kesuburan sejak 1979 … di Zon Utara iaitu Klinik Subfertiliti Pulau Pinang, Zon Tengah di Klinik Subfertiliti di Kuala Lumpur dan untuk Zon Selatan (Klinik Subfertiliti) di Johor,” katanya.

Beliau berkata inisiatif rawatan di fasiliti LPPKN itu sehingga kini telah berjaya mencatat 6,000 kehamilan dan 4,000 kelahiran yang merupakan satu pencapaian setanding pusat rawatan kesuburan antarabangsa.

Katanya, antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan rakyat ialah perubahan gaya hidup dan kos sara hidup tinggi sehingga pasangan mengambil keputusan mengehadkan jumlah anak, peningkatan bilangan wanita berpendidikan, penyertaan wanita dalam tenaga buruh selain lewat berkahwin sehingga memendekkan usia reproduktif.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619