AGENDA

43,019 pelajar sekolah menengah dikesan merokok, KKM pergiat kempen cegah tabiat

4 Apr 2023, 4:35 AM
43,019 pelajar sekolah menengah dikesan merokok, KKM pergiat kempen cegah tabiat

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Saringan yang dijalankan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 43,019 pelajar terlibat dengan tabiat merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata dalam tempoh yang sama hasil saringan yang dijalankan terhadap 2 juta pelajar sekolah rendah mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.

“Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok, manakala murid yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator N. Balasubramaniam yang ingin tahu perkembangan terkini pihak Kementerian Kesihatan dalam Generasi Penamat-Anti-Rokok (GEGAR-18) dan sejauh manakah kempen ini berhasil.

Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkasa dan memperluaskan program GEGAR-18 yang bertujuan memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan untuk mewujudkan persekitaran bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.

“Kempen ini juga dijalankan bagi memastikan kumpulan GEGAR-18 ini kekal bebas rokok sepanjang hayat mereka. Kempen GEGAR-18 juga telah dijalankan di sembilan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan dan Kementerian Pendidikan tinggi.

“Selaras dengan kempen GEGAR-18 ini juga, sebanyak 19 kampus universiti telah melaksanakan program MQUIT Universiti dan buat saringan serta intervensi untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan pelajar pengajian tinggi,” katanya.

Katanya KKM juga akan terus memperluaskan kempen GEGAR-18 bagi golongan belia yang tidak memasuki mana-mana IPT melalui kerjasama Majlis Belia Malaysia dan pertubuhan lain yang berkaitan. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619