AGENDA

Ahli Dewan Negara berdiri satu kaki selama seminit tanda sokong OKU

3 Apr 2023, 7:00 AM
Ahli Dewan Negara berdiri satu kaki selama seminit tanda sokong OKU

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Persidangan Dewan Negara hari ini berlangsung dalam suasana sedikit emosi apabila para Senator di dalam dewan bertindak berdiri selama satu minit dengan sebelah kaki sebagai tanda sokongan dan bersolidariti kepada Senator Isaiah Jacob.

Terdahulu, Isaiah yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kudung sebelah kaki, ketika mengakhiri ucapannya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang menyentuh soal kebajikan dan pemerkasaan golongan OKU, meminta semua ahli dewan berdiri bersamanya.

“Saya telah berdiri untuk sertai perbahasan ini selama 14 minit 15 saat, satu kaki, kami orang kuat upaya... Saya nak tutup dengan satu perkara, saya mohon semua YB (Yang Berhormat) termasuk Yang Dipertua.. berdiri selama satu minit, dengan satu kaki...terima kasih,” katanya.

Semua Ahli Dewan Negara yang hadir kemudian bersama-sama berdiri sebagai tanda sokongan kepada Isaiah yang seterusnya mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

“Terima kasih YB Isaiah atas hujah diberikan, saya amat terasa dalam soal ini dan apa yang dibahaskan, semoga didengari pihak kementerian bertanggungjawab,” katanya.

Dalam ucapan perbahasannya, Isaiah yang memilih untuk menggunakan terma “golongan istimewa” bagi menggantikan istilah OKU mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Hal Ehwal OKU diwujudkan dan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini bertanggungjawab menjaga kebajikan warga istimewa dilihat mempunyai banyak kekangan kerana turut perlu beri perhatian pada golongan lain seperti ibu tunggal, pesakit selain mangsa kes kebakaran dan bencana.

“Apabila jawatankuasa ini ada, hal OKU mereka akan ambil alih daripada JKM, mereka akan pantau setiap lima tahun Akta OKU 2008, yang dah 15 tahun, kita semak semula, elaun OKU juga wajib diteliti, dinaikkan setiap dua tahun jadi saya mohon YB semua sokong penubuhannya.

“Kita juga harap golongan istimewa ini didaftarkan terus dalam kad pengenalan mereka, tak perlu daftar dengan JKM dan kad OKU ini, kerana ada sesetengah orang (bukan OKU) salah guna kad ini untuk dapatkan keistimewaan yang sepatutnya golongan istimewa ini dapat,” katanya.

Isaiah berkata beliau sentiasa bersedia untuk membantu JKM dan juga Jabatan Perdana Menteri dalam merealisasikan cadangannya itu demi memperkasa komuniti OKU di negara ini yang dilihat ketinggalan berbanding negara lain.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619