AGENDA

Bekalan telur sepanjang Ramadan, Aidilfitri mencukupi

2 Apr 2023, 5:52 AM
Bekalan telur sepanjang Ramadan, Aidilfitri mencukupi

JASIN, 2 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan telur termasuk gred A dan B di seluruh negara stabil bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata bagaimanapun permintaan bagi gred AA, gred A dan gred B meningkat di bulan puasa berikutan ia bahan utama digunakan untuk membuat kuih, kek, biskut raya dan juadah berbuka.

"Namun FAMA difahamkan pihak pengeluar cuba untuk memenuhi keperluan pengguna tetapi penghasilan bagi telur gred tersebut juga bergantung kepada umur ayam yang diternak.

"Secara keseluruhan kita mempunyai banyak pilihan termasuk telur omega dan telur kampung yang mempunyai saiz membolehkan pengguna membuat pilihan," katanya pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani @ Pasar Tani di Merlimau di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Rosilawati Abu Hassan dan Pengarah FAMA negeri Hairudin Yunos.

Abdul Rashid berkata FAMA juga akan memastikan bekalan telur di pasaran mencukupi dan menambah bekalan di mana-mana tempat sekiranya mendapat maklumat berlaku kekurangan seperti di negeri pantai timur.

"Apabila berlaku kekurangan telur kita akan berbincang dengan pembekal dan antara perbincangan itu kuota yang diberikan kepada FAMA untuk tingkatkan bekalan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mengalami kekurangan bekalan kerana tiada pengeluaran kilang yang besar," katanya.

Beliau berkata FAMA juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan telur ayam ke seluruh negara dan sehingga 31 Mac, FAMA telah mengedarkan 21.5 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara.

"Intervensi ini diteruskan sehingga Jun tahun ini, namun penilaian semasa akan dilakukan sama ada perlu diteruskan lagi sehingga hujung tahun dan buat masa ini FAMA memperoleh bekalan dari tujuh negeri pembekal utama komoditi itu Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619