AGENDA

Trump didakwa kes bayar wang untuk tutup mulut pelakon

31 Mac 2023, 3:40 AM
Trump didakwa kes bayar wang untuk tutup mulut pelakon

WASHINGTON, 31 MAC: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis didakwa berhubung penglibatannya dalam kes membuat sejumlah bayaran kepada seorang pelakon filem 'lucah' , lapor Agensi Berita Xinhua.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam Trump, Joe Tacopina dan Susan Necheles menerusi satu kenyataan.

"Presiden Trump didakwa. Dia tidak melakukan apa-apa jenayah. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh menentang pendakwaan politik ini di mahkamah," menurut kenyataan itu.

Trump, 76, dikatakan bekas presiden AS pertama dalam sejarah Amerika yang didakwa atas tuduhan jenayah yang masih belum didedahkan.

Tuduhan ke atasnya belum diumumkan pada masa ini, menurut CNN, memetik sumber.

Pejabat Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg dilaporkan akan menghubungi peguam Trump berhubung kes itu.

Bragg dan pembantunya telah menyiasat dakwaan yang mengatakan Trump ada membayar sebanyak US$130,000 kepada Stormy Daniels menjelang pilihan raya presiden 2016.

Bayaran itu bertujuan untuk menghalang Daniels daripada mendedahkan kepada umum tentang dakwaan hubungan seksualnya dengan Trump pada 2006.

Trump dari parti Republikan yang menjadi presiden AS berkhidmat dari 2017 hingga 2021, menafikan dakwaan itu serta menolak sebarang salah laku dan menyifatkan dakwaan itu sebagai bermotifkan politik.

Kes itu mendapat tumpuan memandangkan belum ada bekas presiden AS yang pernah didakwa atas pertuduhan jenayah apatah lagi tatkala Trump dikatakan mahu bertanding semula dalam pemilihan presiden akan datang.

-BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619