AGENDA

Isu bekal buruh asing, tanah rizab Melayu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

29 Mac 2023, 1:00 AM
Isu bekal buruh asing, tanah rizab Melayu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Isu berkaitan pembekalan tenaga buruh asing ke negara ini dan kadar keluasan asal Tanah Rizab Melayu di Semenanjung dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Chow Kon Yeow (HARAPAN-Batu Kawan) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai senarai rundingan yang sedang, telah dan juga dalam proses dengan negara berpotensi membekalkan tenaga buruh ke dalam negara.

Soalan itu dikemukakan Chow pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang turut meminta jumlah bilangan pekerja yang dijangka dibawa masuk dan tempoh untuk mengatasi isu kekurangan tenaga buruh yang dihadapi setiap industri pada masa ini.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) turut meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sama ada kerajaan akan merangka satu dasar yang jelas dan kukuh bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di samping mengelak berlaku kebanjiran warga asing dalam negara.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan langkah kerajaan mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.

Selain itu, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) turut meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status terkini mengenai hasrat negara menuju 'Carbon Neutral' menjelang 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Selesai sesi itu, Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619