AGENSI

Hijrah tawar pinjaman modal hingga RM20,000, galak usahawan sertai Bazar Raya

28 Mac 2023, 6:01 AM
Hijrah tawar pinjaman modal hingga RM20,000, galak usahawan sertai Bazar Raya

SHAH ALAM, 28 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memperuntuk dana sejumlah RM500,000 bagi membantu usahawan negeri ini yang berminat menyertai Bazar Raya.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohamad Rosdi Kamal berkata program di bawah skim i-Bermusim menawarkan pinjaman antara RM2,000 hingga RM20,000.

"Usahawan berminat boleh memohon skim ini yang dibuka sejak 13 Mac lalu hingga 7 April. Kita sudah mula menerima permohonan dan menyasarkan 100 usahawan mendapat manfaat.

"Pembiayaan akan dikeluarkan kepada pemohon layak pada minggu ketiga Ramadan," katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata konsep pinjaman skim i-Bermusim kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya yang memberi peluang kepada mana-mana usahawan memohon pinjaman tersebut.

"Ini kerana kita benar-benar mahu membantu usahawan sedia ada yang memberi komitmen daripada segi bayaran balik pinjaman kepada Hijrah.

"Namun, kita menyeru usahawan di luar sana yang ingin mendapatkan modal tambahan supaya menyertai skim pinjaman bersesuaian lain seperti i-Bisnes dan sebagainya," katanya.

i-Bermusim antara tiga skim pembiayaan diperkenal Kerajaan Selangor bagi membantu usahawan memulih semula perniagaan terjejas susulan pandemik Covid-19.

Skim berkonsepkan islamik khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim.

Skim berkenaan boleh dimohon menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my atau hubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619