AGENDA

Menteri: Menjelang Aidilfitri, bekalan ayam di seluruh negara cukup

26 Mac 2023, 2:06 PM
Menteri: Menjelang Aidilfitri, bekalan ayam di seluruh negara cukup

JOHOR BAHRU, 26 MAC: Bekalan ayam mentah di seluruh negara masih dijangka mencukupi sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri akhir bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Justeru, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan tersebut, memandangkan data menunjukkan bekalan mencukupi sehingga tempoh perayaan akan datang.

Beliau sekaligus membidas dakwaan segelintir peniaga, mengenai bekalan ayam tidak mencukupi sebagai sebab menaikkan harga, yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah mendapat maklumat terperinci pada hari ini daripada Jabatan Veterinar, setelah KPDN berkongsi maklumat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

“Secara rasminya data menunjukkan bekalan cukup sehingga hari raya ini,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma pada pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan Taman Perling, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pulai itu berkata setiap aduan dipandang serius KPDN, justeru sekiranya perkara tersebut berlaku, rakyat dan peniaga diminta melaporkan perkara itu kepada KPDN.

“Kerana kita bimbang (kalau ada) isu tempatan atau tempat-tempat tertentu, itu tidaklah menggambarkan tentang isu sebenarnya. Kadang-kadang, ada masalah di antara pembekal dengan peruncit, mungkin akibat daripada mereka lambat bayar ataupun bekalan tidak cukup, mungkin itu berlaku di tempat-tempat tertentu,” kata Salahuddin.

Beliau berkata pegawai penguatkuasa KPDN telahpun diarahkan mengetatkan pemantauan sepanjang bulan Ramadan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri, demi kebajikan rakyat.

“Nasihat saya kepada peniaga-peniaga selagi kerajaan masih meletakkan harga kawalan atau harga siling bagi ayam iaitu RM9.40 (sekilogram), saya harap itu dipatuhi.

“Sekiranya mereka berhadapan dengan bekalan ataupun memerlukan bantuan daripada KPDN, kita sedia membantu,” katanya ketika menjawab dakwaan peniaga yang mengatakan harga naik kerana bekalan kurang di pasaran.

Media hari ini melaporkan terdapat kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran, menyebabkan kenaikan harga ayam tidak dapat dielakkan, dengan harga ayam di peringkat runcit dilaporkan naik kepada RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan dijangkakan terus meningkat sehingga RM11.50 dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619