AGENDA

6,769 atlet muda ikuti program pelapis, gilap bakat baharu

23 Mac 2023, 6:14 AM
6,769 atlet muda ikuti program pelapis, gilap bakat baharu

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Sebanyak 6,769 atlet bawah 21 tahun sedang mengikuti program pelapis negeri yang dibimbing 400 jurulatih bertauliah, di 319 pusat latihan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata 2,232 atlet berusia 13 hingga 15 tahun pula dibimbing 172 jurulatih bertauliah di 165 pusat latihan daerah menerusi program bakat.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memastikan negara tidak ketandusan bakat baharu sukan di peringkat akar umbi sehingga mereka dapat digilap dan menggantikan barisan atlet senior pada bila-bila masa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai perancangan dilakukan KBS dalam usaha mencari bakat-bakat baharu sukan bagi sukan popular seperti badminton dan bola sepak.

Adam Adli berkata kedua-kedua program itu menyediakan peralatan latihan, latihan mod separuh masa, pendedahan latihan dan pertandingan di peringkat daerah dan negeri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan menganjurkan pertandingan liga sukan komuniti bagi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sebagai usaha mencari bakat baharu bagi sukan bola jaring, futsal dan bola keranjang.

Katanya kementerian menyasarkan penyertaan 100,000 orang dalam pertandingan tersebut dan ketiga-tiga sukan itu dipilih berdasarkan minat masyarakat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619