AGENDA

Penjawat awam sertai misi pascabanjir layak terima elaun

21 Mac 2023, 9:12 AM
Penjawat awam sertai misi pascabanjir layak terima elaun

PUTRAJAYA, 21 MAC: Pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan tugas-tugas pascabanjir dianggap menjalankan tugas rasmi dan layak menerima elaun dan kemudahan yang berkelayakan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran ‘Pelaksanaan Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam Bagi Pengurusan Pasca Banjir’ bertarikh 17 Mac 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Edaran itu menyatakan mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri Bil 8 Tahun 2023 bertarikh 17 Mac telah memutuskan menggerakkan semula Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA) dari semua kementerian, jabatan, agensi bagi menguruskan pasca banjir untuk digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.

Edaran itu turut menyatakan pegawai yang menyertai ativiti kesukarelawanan tugas-tugas pascabanjir dilindungi oleh Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Bagi Perkhidmatan Awam tertakluk kepada syarat di bawah Pekeliling Perbendaharaan W.P 6.3.

“Pihak kementerian, jabatan dan agensi adalah bertanggungjawab menguruskan tuntutan pegawai-pegawai yang terlibat tertakluk kepada peraturan-peraturan yang berkuat kuasa,” menurut surat berkenaan yang turut diedarkan kepada semua Ketua Setiausaha kementerian.

Arahan yang dikeluarkan dalam edaran berkenaan adalah berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan PSPA Pasca Banjir ke Johor yang disertai seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Misi selama dua hari itu dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Anwar pada pada 17 Mac lepas mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619