AGENDA

Kerajaan sekat laman pornografi benteras jenayah seksual kanak-kanak

17 Mac 2023, 9:54 AM
Kerajaan sekat laman pornografi benteras jenayah seksual kanak-kanak

KOTA BHARU, 17 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bertindak tegas menyekat laman sesawang pornografi secara menyeluruh dalam usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata masyarakat perlu sedar dan memberi perhatian terhadap masalah jenayah seksual kanak-kanak itu yang berlaku antaranya disebabkan pengaruh media sosial serta penggunaan Internet tidak terkawal terutama membabitkan laman sesawang pornografi.

"Tindakan tegas perlu dilakukan untuk menyekat terus talian yang bersifat pornografi memandangkan laman sesawang ini boleh diakses pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Wanita Antarabangsa (Hawa) Kelantan 2023 di Tunjong hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan semalam yang menyatakan kes jenayah termasuk seksual membabitkan kanak-kanak dan wanita di negara ini meningkat iaitu sebanyak 12,890 kes tahun lalu berbanding 11,092 kes pada 2020.

Aiman Athirah berkata masalah tersebut sukar dibendung kerana masyarakat mudah terdedah dengan bahan-bahan pornografi melalui telefon bimbit, televisyen dan siaran yang memberi laluan bagi kesalahan terbabit.

"Untuk itu, KPWKM telah menjalankan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Kementerian akan terus meneliti ruang dan faktor-faktor yang boleh membawa kepada jenayah tersebut, dan ia perlu ditangani secara bersama-sama melibatkan semua pihak," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619