AGENDA

18,740 unit kuarters guru tidak dihuni, KPM tunggu laporan kajian perunding hartanah

15 Mac 2023, 6:00 AM
18,740 unit kuarters guru tidak dihuni, KPM tunggu laporan kajian perunding hartanah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Sejumlah 18,740 unit kuarters guru milik Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diduduki daripada jumlah keseluruhan 47,947 unit.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ting berkata KPM telah melantik perunding hartanah untuk menjalankan kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni di seluruh negara.

Beliau berkata kajian itu dijangka selesai akhir bulan depan.

"Kita menunggu laporan kajian daripada perunding hartanah dan akan merancang tindakan seterusnya untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kuarters guru dan perancangan kementerian untuk baik pulih dan selenggara kuarters guru yang uzur.

Sementara itu, KPM sedang meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk dikreditkan secara terus ke dalam akaun murid berikutan terdapat isu kecuaian dan kecurian membabitkan pengagihan wang bantuan berkenaan.

Lim berkata ia juga bagi memastikan kemudahan kepada ibu bapa supaya tidak perlu hadir ke sekolah bagi mengambil wang tersebut.

“Bagaimanapun, cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos tinggi bagi membuat urusan di bank," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai mekanisme terbaik mengatasi masalah pengurusan wang BAP.

Selain itu, Lim memaklumkan KPM akan memohon pihak sekolah untuk membuat pemulangan lebihan wang bantuan berkenaan sebelum 31 Julai ini setelah sekolah mengesahkan semua murid yang layak telah menerima BAP.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619