AGENSI

Akademi Carsome sambut baik biasiswa negeri, pelawa belia ambil peluang

14 Mac 2023, 2:56 AM
Akademi Carsome sambut baik biasiswa negeri, pelawa belia ambil peluang
Akademi Carsome sambut baik biasiswa negeri, pelawa belia ambil peluang
Akademi Carsome sambut baik biasiswa negeri, pelawa belia ambil peluang

KLANG, 14 MAC: Akademi Carsome menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memberi biasiswa kursus teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan.

Pengasas Bersama dan Pengarah Academi Carsome Teoh Jiun Ee berkata ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada pihaknya dalam menyampaikan latihan TVET.

[caption id="attachment_571682" align="aligncenter" width="810"] Pengasas Bersama dan Pengarah Academi Carsome Teoh Jiun Ee. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

"Terima kasih dengan pemberian biasiswa sehingga RM250,000 ini untuk membolehkan belia yang layak, lahir dan menetap di Selangor menerima insentif berkenaan.

"Justeru, kami mengalu-alukan anak Selangor yang mahu melanjutkan pengajian di akademi ini segera memohon menerusi laman sesawang Akademi Carsome carsomeacademy.my/scholarship_2023/.

"Selain berusia 18 hingga 40 tahun, pemohon sepatutnya sudah diterima atau sedang dalam proses membuat permohonan untuk mengikuti kursus sepenuh masa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 di Akademi Carsome," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran biasiswa TVET Selangor untuk pelajar Akademi Carsome di Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han.

[caption id="attachment_571654" align="aligncenter" width="793"] EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melawat bengkel kereta Carsome sebelum pelancaran biasiswa TVET Selangor bersama Carsome Academy di Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja pada 13 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Pada masa sama, Jiun Ee berkata Akademi Carsome bakal memperkenalkan kaedah pembelajaran secara realiti maya (VR) dengan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berkata pengenalan sistem baharu itu seiring dengan kadar penggunaan kenderaan elektrik yang semakin bertambah dan susulan itu industri automotif memerlukan juruteknik yang bersedia dalam bidang berkenaan.

"Oleh itu, bagi mengukuhkan ekosistem, Akademi Carsome komited membangunkan generasi juruteknik automotif yang berkemahiran tinggi untuk memacu industri ini ke hadapan.

"VR berpotensi mengubah cara belajar dan mengajar, dengan menawarkan pengalaman interaktif yang meningkatkan penglibatan, motivasi serta pemahaman pelajar mengenai konsep yang kompleks," katanya.

Pelajar Akademi Carsome akan didedahkan dengan tiga bulan kelas teori meliputi kuliah, sesi amali modul VR dan pemeriksaan kenderaan sebenar manakala sembilan bulan sesi praktikal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619