AGENDA

Kadar air tidak terhasil turun tiga tahun berturut, Selangor terima imbuhan RM362.4 juta

8 Mac 2023, 5:41 AM
Kadar air tidak terhasil turun tiga tahun berturut, Selangor terima imbuhan RM362.4 juta

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menurunkan kadar air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2019.

Menteri sumber asli berkata pencapaian itu melayakkan syarikat terbabit menerima imbuhan balik berjumlah RM362.4 juta daripada dana program yang diperuntuk bagi mencapai sasaran, lapor Bernama.

“Dari segi kos, perbelanjaan bagi tempoh tiga tahun untuk program NRW oleh Air Selangor melebihi RM558 juta," kata Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur semalam.

"Ini juga bermakna, Air Selangor layak mendapat imbuhan balik berjumlah RM362.4 juta daripada kerajaan persekutuan bawah Program Pengurangan NRW Pendekatan 2 dalam tempoh tersebut."

Di bawah program tersebut, Kementerian Sumber Asli akan memberi geran sepadan kepada syarikat operator air yang berjaya mencapai sasaran penurunan kadar NRW tahunan yang ditetapkan.

Kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada perbelanjaan tahunan operator air untuk tujuan tersebut manakala bayaran balik 75 peratus jika pencapaian itu digandakan.

Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan tahap NRW Selangor memberi dampak amat besar kepada purata NRW negara, iaitu satu peratus menyumbang kepada penurunan kira-kira 0.3 peratus.

Menurutnya, ia berikutan Selangor mempunyai kadar pengeluaran air tertinggi sekitar 5,000 juta liter sehari (JLH) berbanding 15,100 JLH bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Air Selangor berjaya menurunkan kadar NRW sebanyak 3.77 peratus, iaitu daripada 31.7 peratus pada 2019 kepada 27.93 peratus pada 2021.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619