AGENDA

Jakim bawah naungan MKI, ketua pengarah dilantik setiausaha

6 Mac 2023, 1:39 PM
Jakim bawah naungan MKI, ketua pengarah dilantik setiausaha

SHAH ALAM, 6 MAC: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai setiausaha Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Pelantikan itu diumumkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika mempengerusikan mesyuarat ke-69 badan itu di Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah Jakim pula secara rasmi bertindak sebagai urus setia kepada majlis tersebut selaras pengenalan Peraturan-Peraturan MKI 2022 yang telah diperkenan.

"Ramai sudah lupa sejarah dan asal usul Jakim yang lahirnya di serambi istana. Kini dengan kembalinya MKI bawah naungan Raja-Raja Melayu, maka Jakim telah kembali ke serambinya.

"Bagaikan sirih pulang ke gagang. Telah jauh kita berjalan, berkali tersesat, tiba masanya kita baliklah ke pangkal jalan," titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah peraturan baharu MKI turut menjelaskan garis panduan struktur ahli yang dilantik khas mewakili kerajaan persekutuan dan negeri untuk menubuhkan jawatankuasa.

Fungsi jawatankuasa tersebut seperti berikut:

1. Jawatankuasa Muzakarah MKI: Dianggotai mufti dan alim ulama seluruh Malaysia, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1970 dan pernah dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan

2. Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan: Dianggotai wakil negeri masing-masing yang dilantik Raja negeri itu, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1983

3. Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan: Dianggotai wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan Raja negeri itu serta pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri

4. Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan: Dianggotai ahli dilantik Majlis Raja-Raja yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang syarak dan sivil

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619