AGENDA

Paras air di Batu Pahat meningkat, orang ramai dinasihat berhati-hati

6 Mac 2023, 10:15 AM
Paras air di Batu Pahat meningkat, orang ramai dinasihat berhati-hati

BATU PAHAT, 6 MAC: Polis menasihatkan orang ramai terutamanya sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa susulan berlaku peningkatan paras air banjir di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata setakat petang ini, pihaknya mendapati terdapat peningkatan paras air antara 0.3 hingga 0.5 meter di sekitar daerah itu walaupun cuaca ketika ini panas.

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan aliran air dari daerah Segamat masuk ke daerah itu melalui Sri Medan seterusnya ke Parit Sulong.

Susulan itu, katanya kawasan yang masih terjejas akibat banjir adalah di Parit Raja, Ayer Hitam dan Taman Sri Gading.

"Saya nasihatkan mereka yang mahu masuk ke kawasan ini agar berhati-hati kerana ada laluan yang masih ditenggelami air atau dibuka satu laluan sahaja, ikut arahan pihak berkuasa," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Balai Polis Sri Medan di sini hari ini.

Beliau berkata tiga jalan utama yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan ialah Sri Medan-Parit Sulong, Batu Pahat ke Parit Sulong melalui Jalan Parit Jalil dan Seri Gading-Sri Medan.

Menurut Ismail laluan lain masih boleh dilalui namun perlu berhati-hati kerana ada jalan yang dibuka satu arah sahaja.

"Setakat semalam, kita telah menutup lapan pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kawasan itu dinaiki air antaranya di Sri Medan, Parit Haji Kamisan, Tongkang Pechah dan Yong Peng," katanya.

Tinjauan Bernama di Sri Medan hari ini mendapati cuaca panas, namun air banjir masih melimpah di jalan raya dan masih ada rumah yang ditenggelami air.

Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor ialah 43,270 orang melibatkan sembilan daerah, manakala Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk dengan jumlah mangsa seramai 21,164 orang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619