AGENDA

Ekonomi tidak gawat, diunjur tumbuh 4.5 peratus tahun ini

6 Mac 2023, 6:10 AM
Ekonomi tidak gawat, diunjur tumbuh 4.5 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.5 peratus tahun ini di sebalik cabaran ketidaktentuan di peringkat global, kata timbalan menteri kewangan.

Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, jangkaan itu selaras Tabung Kewangan Antarabangasa (IMF) dan Bank Dunia selain prestasi pertumbuhan ekonomi yang direkodkan tahun lalu.

Beliau menambah negara juga tidak akan mengalami kegawatan ekonomi tahun ini dan kerajaan terus menumpukan untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik.

“IMF dan Bank Dunia turut unjurkan Malaysia akan alami pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus dan 4 peratus pada tahun ini," jelasnya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Selain itu, kegawatan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan selama dua kali berturut-turut."

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad yang ingin mengetahui pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku tahun ini.

Ahmad menjelaskan kerajaan akan terus memudah cara proses pelaburan dan mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovatif tinggi bagi mencipta peluang pekerjaan tempatan setimpal.

Pada awal tahun ini, Bank Dunia menjangkakan kemelesetan ekonomi global berlaku pada 2023, rentetan krisis kewangan yang dialami banyak negara di seluruh dunia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619