AGENDA

Liga Super: Tandukan kapten selamatkan Selangor, ikat Sri Pahang 1-1

6 Mac 2023, 1:30 AM
Liga Super: Tandukan kapten selamatkan Selangor, ikat Sri Pahang 1-1

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pendatang baharu Liga Super, Kelantan merakam kemenangan pertama musim ini selepas mengatasi Penang 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Dua jaringan skuad bimbingan Choi Moon Sik masing-masing dijaringkan penyerang Ismaheel Akinade menerusi tandukan pada minit ke-21 dan rembatan kencang pemain tengah, Muhamad Fazrul Amir (minit ke-35) cukup memadai untuk Kelantan bangkit meraih tiga mata selepas tewas dalam dua aksi pertama.

Bagaimanapun, pertembungan itu dicemari dengan dua layangan kad merah masing-masing kepada pemain pertahanan Kelantan, Christian Rontini susulan mengutip kad kuning kedua sebelum pemain gantian Hassan Saad diperintah keluar padang dua minit kemudian susulan kekasaran yang dilakukan.

Penang hampir meledak gol pertama pada minit ke-73 tetapi sepakan percuma Narcizo Adriano terkena palang sekali gus keputusan 2-0 kekal memihak Kelantan untuk membolehkan Red Warriors keluar daripada kelompok pasukan tercorot ke kedudukan ketujuh.

Sementara itu, jaringan kapten pasukan Brendan Gan menerusi tandukan ketika permainan berbaki dua minit sebelum masa penuh, menyelamatkan Selangor yang bangkit mengikat Sri Pahang 1-1 pada perlawanan tumpuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang semalam.

Skuad Tok Gajah berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-74 menerusi pemain pertahanan Stefano Brundo yang merembat bola muntah tampanan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid selepas sepakan penalti diambilnya berjaya diselamatkan penjaga gol kebangsaan itu.

Pengadil Fitri Maskon tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad bimbingan Fandi Ahmad selepas pemain pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar menjatuhkan Muhammad Baqiuddin Shamsudin.

Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe tidak berputus asa mengasak kubu pertahanan lawan sebelum berjaya memperoleh gol penyamaan selepas Brendan menanduk masuk bola sepakan percuma pada minit ke-88.

Sepakan percuma diambil pemain gantian Yohandry Orozco pada masa kecederaan babak kedua hampir memberi kejayaan meraih tiga mata buat Selangor, namun percubaannya hanya menggegar palang.

Satu mata diraih bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah Cheng Hoe dalam saingan liga sejak membimbing Selangor pada penghujung September tahun lepas, malah melonjakkan pasukan ke persada liga dengan mengumpul tujuh mata sementara Sri Pahang di kedudukan kelima dengan lima mata.

Dalam pada itu, Terengganu mengutip mata pertama selepas aksi menentang Kuala Lumpur City berakhir seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619