AGENDA

PM lawat mangsa banjir di Segamat

5 Mac 2023, 5:02 AM
PM lawat mangsa banjir di Segamat

SEGAMAT, 5 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh, dekat sini.

Anwar yang tiba kira-kira 11.20 pagi di PPS berkenaan, meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu mangsa banjir di PPS itu yang menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga itu.

Selain beramah mesra dan bertanya khabar, beliau turut meninjau ruangan aktiviti psikologi pendidikan untuk anak-anak mangsa banjir, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketibaan beliau juga mengujakan penghuni PPS, termasuk warga emas dan anak muda, yang ternyata gembira dapat melihat dengan lebih dekat wajah pemimpin nombor satu negara itu.

Terdahulu Anwar mendengar taklimat situasi semasa bencana banjir di daerah itu di Kem 4, Rejimen Artileri Diraja, Segamat.

Beliau selepas ini dijadual melawat mangsa banjir PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, yang menempatkan 502 penduduk dari 133 keluarga.

Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 44,860 orang dengan Batu Pahat paling teruk terjejas.

Banjir di Johor turut mengakibatkan empat orang terkorban setakat ini.

Anwar sebelum ini berkata Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor, bagi membantu mangsa banjir serta keperluan-keperluan segera di negeri itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619