AGENDA

18 fasiliti kesihatan di Johor terjejas akibat banjir - Dr Zaliha

4 Mac 2023, 4:45 AM
18 fasiliti kesihatan di Johor terjejas akibat banjir - Dr Zaliha

SERDANG, 4 MAC: Sebanyak 18 fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) terjejas akibat banjir yang melanda Johor sejak 1 Mac lepas, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata ia melibatkan 13 klinik desa, empat klinik kesihatan dan satu klinik pergigian masing- masing di Segamat dan Tangkak.

“Chaah (di Segamat) paling terkesan terutama klinik kesihatan. Beberapa peranti turut rosak di sana (akibat banjir),” katanya pada sidang media selepas merasmikan simposium mengenai penyakit jantung semasa kehamilan di Hospital Serdang, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata buat masa ini, pasukan petugas KKM termasuk dari Muar, Tangkak dan Putrajaya yang ditugaskan bagi memberi khidmat kesihatan kepada mangsa banjir adalah mencukupi.

Keadaan banjir di Johor menyaksikan jumlah mangsa yang terjejas meningkat kepada 37,322 orang setakat 8 pagi ini berbanding 34,849 mangsa pada 8 malam tadi.

Ditanya mengenai sama ada terdapat jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), Dr Zaliha berkata setakat pagi ini, dua kes dikesan masing-masing di Segamat dan Kluang, Johor.

Beliau berkata kedua-dua individu tersebut bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang menjalani isolasi di Hospital Segamat dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Kami juga akan memantau aktiviti memasak di PPS (sekiranya ada) untuk mengelakkan masalah keracunan makanan manakala aktiviti pencegahan untuk denggi dan leptospirosis, sentiasa dijalankan setiap hari oleh pasukan dari PKD (Pejabat Kesihatan Daerah),” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Zaliha berkata Hospital Serdang menjadi tumpuan rujukan kes penyakit jantung semasa mengandung kerana terdapat kombinasi perkhidmatan jantung, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik, dengan seramai 669 pesakit telah menerima rawatan di klinik kombinasi tersebut tahun lepas.

Beliau berkata analisa kematian maternal daripada laporan yang diterbitkan mengenai ‘Confidential Enquiries into Maternal Deaths (CEMD) 2012-2014’ menunjukkan empat punca utama kematian adalah komplikasi daripada masalah kesihatan jantung, pendarahan selepas bersalin, gangguan hipertensi dalam kehamilan dan penyakit pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619