AGENDA

Banjir Johor: Bengkel tawar baik pulih kereta terjejas secara percuma

3 Mac 2023, 1:02 AM
Banjir Johor: Bengkel tawar baik pulih kereta terjejas secara percuma

KLUANG, 3 MAC: Sebuah bengkel kereta DRS Auto di daerah ini menawarkan perkhidmatan membaik pulih kereta yang terjejas banjir secara percuma, bagi membantu mangsa yang terkesan bencana itu.

Pemiliknya Mohammad Naim Yacob, 38, berkata beliau mengambil inisiatif itu, kerana memahami beban mangsa yang terpaksa menanggung kerugian akibat musnah harta benda dan sebagainya, akibat bencana itu.

Beliau berkata beliau tergerak untuk menghulurkan bantuan itu, apabila melihat banjir kali ini yang disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku.

“Saya nak bantu mana-mana kereta yang terkesan akibat banjir, saya akan membantu secara percuma dan semampu yang saya boleh buat, yang penting sampai kereta boleh dihidupkan dan pemilik boleh guna.

“Kalau boleh mana-mana kereta yang dah tenggelam banjir, saya harap jangan hidupkan dulu, telefon saya dan saya akan datang ke tempat mangsa dan baiki sehingga enjin dia hidup semula,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu, kini telah menerima sebanyak tiga kereta yang dimasuki air banjir.

“Saya anggarkan boleh baiki anggaran 10 kereta satu hari, bergantung pada masa dan jenis kerosakan.

“Antara perkhidmatan yang kita boleh buat pada kereta yang dah kena banjir ni kita cuci dan ganti minyak hitam, tembak angin untuk keluarkan minyak dan ganti penapis angin,” katanya yang mana kos sebenar menelan kira-kira RM200.

Dia yang telah mempunyai bengkel kereta selama 15 tahun itu juga, bercadang mengajak beberapa teman lain yang mempunyai bengkel atau kemahiran membaiki untuk turut serta ke Chaah, Segamat, memandangkan kawasan itu terjejas teruk.

“Dari segi pengangkutan, kita takkan kenakan apa-apa. Seikhlas hati dan percuma,” katanya.

Sebelum ini, tular mesej Whatsapp Mohammad Naim yang menawarkan perkhidmatan percuma itu kepada warga Kluang yang terjejas banjir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619