AGENDA

Anwar cari penyelesaian isu kelancaran pelaksanaan haji, umrah jemaah Malaysia

28 Feb 2023, 1:00 PM
Anwar cari penyelesaian isu kelancaran pelaksanaan haji, umrah jemaah Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah berhubung kelancaran pelaksanaan haji dan umrah bagi jemaah Malaysia.

Perbincangan itu berlangsung semasa Anwar menerima kunjungan hormat Tawfiq bersama delegasi di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menerusi catatan terkini di Facebooknya, Anwar berkata beliau dan Tawfiq turut berbincang mengenai inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang lain termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan dan perdagangan.

Perdana Menteri berharap hubungan rapat Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama akan menjadi lebih erat demi kemaslahatan rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya.

Semalam, Mohd Na’im dalam pertemuannya bersama Tawfiq telah menyampaikan hasrat Malaysia kepada Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota haji kepada 31,950 pada tahun hadapan, selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara.

Kuota jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini ialah 31,600.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619