AGENDA

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan secara berperingkat mulai tahun ini

25 Feb 2023, 7:57 AM
Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan secara berperingkat mulai tahun ini

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada peruntukan yang diberikan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perincian berkaitan penubuhan jabatan itu juga akan dibincangkan secara teliti bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

“Kita akan mula (penubuhan) tahun ini, tetapi kita tengok berapa banyak yang boleh diberikan. Kita tidak dapat buat seluruhnya kerana kalau ikut anggaran kos penubuhannya lebih RM86 bilion, kita tidak dapatlah ambil semua bajet yang diberikan sebab itu kena mula secara berperingkat.

“Namun, yang penting kelulusan kerana bila ada kelulusan perancangan, boleh kita aturkan semula sebab kita sudah buat perancangan dan kertas cadangan juga sudah dibuat tetapi tidak dapat dijalankan secara langsung selagi belum diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Wanita Bangkit@KPWKM hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 semalam memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kos penubuhan yang dianggarkan lebih RM86 bilion itu antaranya meliputi penambahan pekerja.

“Kita nak tambah pekerja kerana yang ada sekarang ini pun seorang pekerja menanggung tujuh hingga 10 tugas yang sepatutnya digalas orang lain sebab mereka jugalah pegawai akhlak, pegawai yang kena pergi buat laporan, penyelia dan sebagainya.

“Penambahan pekerja lebih kepada untuk memastikan tugas yang digalas releven dan berkaitan… dalam masa sama kita juga sudah keluarkan garis panduan baharu kepada pegawai supaya mereka lebih mantap dalam menjalankan tugas dan tidak mahu mereka lari daripada prosedur operasi standard (SOP) kerana ia juga merupakan undang-undang yang harus dijaga,” katanya.

Mengenai peruntukan RM8 juta bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Nancy berkata peruntukan itu adalah munasabah untuk menambah baik kelengkapan dan fasiliti sedia ada.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Nancy berkata 16,950 wanita telah mendapat manfaat bantuan MyKasih Kapital dan menjalankan perniagaan yang diceburi sejak ia dilancarkan pada 2021.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619