AGENDA

Polis tumpas sindiket tipu pelaburan, tahan 29 individu

25 Feb 2023, 5:14 AM
Polis tumpas sindiket tipu pelaburan, tahan 29 individu

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 29 individu disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan menerusi beberapa serbuan di sekitar ibu negara, Selangor, Perak dan Johor pada Selasa lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita tempatan berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun.

Beliau berkata sindiket berkenaan adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru sahaja ditubuhkan dengan menawarkan pelaburan pada kadar pulangan tinggi.

“Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di laman sosial. Skim pelaburan berkenaan dikenali sebagai Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution And Management,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata kejayaan serbuan itu berdasarkan hasil maklumat, risikan dan pemantauan yang dilakukan sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata PDRM turut merampas antaranya 75 telefon bimbit, 73 kad ATM, 64 jenis barangan kemas dan wang tunai RM14,501.

“Kesemua suspek telah mendapat perintah reman antara satu hingga empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“PDRM menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat adalah kecil memandangkan skim pelaburan ini baharu diwujudkan,” katanya.

Noorsiah meminta mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket itu tampil membuat laporan polis dan mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada serta melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Orang ramai diminta dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim yang meragukan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619