AGENDA

RM324 juta untuk tambah baik program latihan, kemudahan sukan atlet negara

25 Feb 2023, 1:30 AM
RM324 juta untuk tambah baik program latihan, kemudahan sukan atlet negara

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Kerajaan memperuntukkan dana RM324 juta dalam Belanjawan 2023 bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk atlet negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dana RM5 juta turut disediakan untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun ini bagi memelihara dan melindungi kebajikan atlet.

“Dalam masa sama, kerajaan turut bercadang memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar berkata kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Selain itu, beliau berkata RM20 juta disediakan bagi program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.

Sementara itu, beliau berkata RM102 juta disediakan sebagai Dana Kandungan Digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.

“Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai.

"Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya RM10 juta disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619