AGENDA

Skim Perubatan Madani kurangkan kesesakan di hospital, B40 boleh ke klinik swasta

25 Feb 2023, 12:30 AM
Skim Perubatan Madani kurangkan kesesakan di hospital, B40 boleh ke klinik swasta
Skim Perubatan Madani kurangkan kesesakan di hospital, B40 boleh ke klinik swasta

PUTRAJAYA, 25 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik beberapa inisiatif dalam pembentangan Belanjawan 2023 apabila menerima peruntukan kedua terbesar dengan peningkatan 12 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lalu.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan RM120 juta adalah khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik serta pengamal perubatan am dan swasta.

Katanya, skim itu merupakan kemudahan ‘kredit’ untuk golongan B40 berjumpa dengan Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.

Menurutnya, projek rintis itu merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di hospital.

“Selain itu, sejumlah RM3 bilion yang diperuntukkan bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi membolehkan kementerian mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah kesesakan tersebut.

“Ia termasuk mengoptimumkan penyumberluaran pesakit dari hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta,” katanya dalam kenyataan semalam.

[caption id="attachment_566657" align="alignleft" width="426"] Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika temu bual bersama media di Putrajaya pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, katanya, KKM menyambut baik antaranya penetapan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape serta penetapan separuh hasil duti eksais yang diperuntukkan kepada kementerian itu.

Selain itu katanya pemberian had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bermula tahun taksiran 2023 daripada RM8,000 kepada RM10,000 meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti autisme, sindrom down dan 'specific learning disabilities'.

Dr Zaliha berkata komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama Generasi Penamat (GEG) dapat melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok serta mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok dan vape.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619