AGENDA

Agong titah perhebat bendung aktiviti jenayah, bersama jaga kedaulatan negara

24 Feb 2023, 6:41 AM
Agong titah perhebat bendung aktiviti jenayah, bersama jaga kedaulatan negara

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan, khususnya agensi penguatkuasaan memperhebat usaha membendung aktiviti jenayah penyeludupan dadah dan bahan terlarang, pendatang tanpa izin serta pencerobohan sempadan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Mejar Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu kerajaan dan agensi penguatkuasaan dalam membendung kegiatan jenayah sama ada di sempadan negara atau di kawasan masing-masing.

“Ini adalah kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga kedaulatan negara sentiasa dipelihara dan negara serta rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ATM atas kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan daun ketum di Kuala Nerang, Kedah.

Seri Paduka bertitah bahawa ketangkasan dan kecekapan anggota pasukan Operasi Tentera Darat ATM itu dalam melaksanakan amanah dan tugas sewajarnya dihargai dan diberi pujian.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap usaha-usaha baik serta tindakan tegas kerajaan dan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan sindiket jenayah terancang di sempadan negara,” menurut kenyataan itu.

Kira-kira satu tan bahan itu dengan nilai RM38,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand, berjaya dirampas Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) ketika melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, Rabu lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619