AGENDA

Maqis tumpaskan cubaan seludup daging babi sejuk beku di KLIA

23 Feb 2023, 4:54 AM
Maqis tumpaskan cubaan seludup daging babi sejuk beku di KLIA

PUTRAJAYA, 23 FEB: Cubaan menyeludup daging babi sejuk beku menggunakan taktik menyembunyikan hasilan haiwan itu dalam 100 kotak gabus digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo pada Selasa lepas.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim menerusi satu kenyataan hari ini berkata taktik itu digunakan oleh ejen penghantaran yang mengisytiharkan hasilan haiwan itu sebagai pakaian.

Sebanyak 3,475 kilogram hasilan haiwan yang dianggarkan bernilai RM28,000 dari Vietnam itu ditahan setelah syarikat tempatan yang cuba membawa masuk gagal mengemukakan dokumen permit import yang sah dan sijil kesihatan dari negara asal, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Sampel produk daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan untuk mengenal pasti penyakit African Swine Fever (ASF), katanya.

"Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan adalah bagi menghalang risiko penularan wabak penyakit ASF di Malaysia dan ia akan menjejaskan industri penternakan babi negara," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619