AGENDA

Kes demam denggi meningkat 9.3 peratus minggu lepas, empat maut

21 Feb 2023, 6:51 AM
Kes demam denggi meningkat 9.3 peratus minggu lepas, empat maut

PUTRAJAYA, 21 FEB: Empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 iaitu pada 12-18 Februari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata sepanjang tempoh tersebut 2,149 kes demam denggi dilaporkan, berbanding 1,967 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan 182 kes atau 9.3 peratus.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 15,243 kes berbanding 4,950 kes bagi tempoh sama 2022, iaitu peningkatan 10,293 atau 207.9 peratus.

“Sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh yang sama pada 2022,” katanya.

Beliau berkata 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 86 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 53 berada di Selangor, Sabah (20), Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat) serta Pulau Pinang (dua).

Katanya survelan Chikungunya merekodkan lapan kes pada minggu ketujuh dengan empat kes di Pulau Pinang, tiga kes di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Putrajaya, menjadikan kumulatif kes setakat ini 94.

Dr Noor Hisham berkata bagi survelan Zika, 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan dan kesemuanya negatif.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak alpa dengan waktu puncak gigitan nyamuk Aedes, iaitu 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam, terutama dalam cuti sekolah ini yang sering diadakan aktiviti berkumpul, beriadah dan kegiatan rekreasi.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi iaitu demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot atau sendi, sakit kepala dan sakit pada belakang mata, serta segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat tanda bahaya seperti muntah, cirit-birit atau pendarahan, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619