AGENDA

Kerajaan tidak abai kepentingan orang Melayu di Kampung Baru - PM

21 Feb 2023, 6:28 AM
Kerajaan tidak abai kepentingan orang Melayu di Kampung Baru - PM

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru dalam rancangan pembangunan di kawasan berkenaan.

Perdana menteri berkata beliau telah menolak beberapa cadangan, termasuk rancangan pajakan tanah sehingga 60 tahun yang dikhuatiri menjejaskan pemiliknya.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sedikit tempoh bagi memastikan pembangunan di kawasan segi tiga emas negara itu dibuat dengan teliti dan adil.

“Saya telah beri jaminan malah telah menangguhkan beberapa program yang saya tidak yakin akan mempertahankan kepentingan Melayu. Kalau ada pajakan itu untuk 60, 99 tahun akan timbul keresahan masyarakat Melayu. Cadangan tentang pajakan ini, saya tak boleh terima.

“Beri ruang (untuk) saya kaji semula dan rujuk pendapat masyarakat tempatan sendiri,” katanya menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai cadangan kerajaan untuk meneruskan pembangunan di Kampung Baru secara menyeluruh di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu mengakui kerajaan tidak mampu untuk membayar wang pampasan yang tinggi ketika ini namun pembangunan Kampung Baru perlu diteruskan demi jangka masa panjang.

Menurutnya setiap kaedah yang bakal dilaksanakan perlu berlandaskan prinsip menjaga kepentingan rizab kawasan Melayu, walaupun ia mengambil masa yang lama.

“Jaminan oleh menteri yang lalu itu tidak mempengaruhi dasar yang akan dilaksanakan. Apa-apa yang membabitkan peruntukan besar mesti di bawa ke Kementerian Kewangan dan jemaah menteri meluluskan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619