AGENDA

Lagi lima mangsa sindiket kerja di Myanmar selamat tiba di KLIA

20 Feb 2023, 12:00 AM
Lagi lima mangsa sindiket kerja di Myanmar selamat tiba di KLIA

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Thailand semalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.

"Kepulangan mangsa berusia 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada KLN dan PDRM yang telah mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Feb," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas kerjasama baik diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan itu dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.

Menurut kenyataan itu Wisma Putra telah membawa pulang 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

"KLN amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KLN sekiranya ada antara ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

"KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian," menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619