AGENDA

Pelajar rosak kemudahan sekolah didenda buat khidmat masyarakat

19 Feb 2023, 5:34 AM
Pelajar rosak kemudahan sekolah didenda buat khidmat masyarakat

GEORGE TOWN, 19 FEB: Kumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini yang bertindak 'meraikan' penggal terakhir persekolahan dengan merosakkan pelbagai peralatan dan fasiliti sekolah akan dilibatkan dalam khidmat komuniti.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah memanggil murid yang terlibat bersama waris mereka semalam bagi membincangkan isu berkenaan.

"Mereka akan dibabitkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab, langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.

"JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah," menurut kenyataan itu.

Tular dua video masing-masing berdurasi 28 saat dan 58 saat di media sosial memaparkan beberapa pelajar bertindak menendang pintu bilik darjah dan tandas sehingga pecah serta merosakkan kerusi malah mereka turut dilihat merosakkan kipas sambil bergelak ketawa.

Video berkenaan mendapat reaksi negatif netizen yang menyifatkan tindakan pelajar berkenaan tidak mencerminkan didikan yang diajar di sekolah.

JPN memaklumkan nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan.

Katanya JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku, termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini serta sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

"Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian. Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM)," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu turut mengingatkan portal yang menyiarkan video berkenaan tanpa menutup muka murid supaya memadamnya kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619