ADN

DUN Bukit Gasing tawar khidmat runding bersama doktor secara maya, caj serendah RM15

18 Feb 2023, 12:52 AM
DUN Bukit Gasing tawar khidmat runding bersama doktor secara maya, caj serendah RM15

SHAH ALAM, 17 FEB : Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan perkhidmatan rundingan bersama doktor secara maya menerusi aplikasi 'Doctor Anywhere' dengan harga serendah RM15.

Wakil rakyatnya R Rajiv berkata kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan berdaya digital bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan pada harga berpatutan.

"Perkhidmatan ini khusus untuk warga DUN Bukit Gasing. Individu kurang berkemampuan (B40) pula akan mendapat harga subsidi RM5 untuk satu sesi rundingan dalam tempoh beberapa minit dengan doktor.

"Program ini bertujuan meringankan beban pesakit memandangkan satu sesi rundingan dengan doktor di klinik amat mahal sehingga lebih RM60.

"Ia belum lagi termasuk dengan kos untuk kita ke klinik, menunggu giliran dan pulang semula ke rumah semua itu mengambil masa yang lama," katanya menerusi Facebook.

Rajiv menjelaskan selepas rundingan bersama doktor, pesakit boleh memilih untuk membeli ubat menerusi aplikasi atau farmasi kegemaran mereka dan dihantar ke kediaman dalam tempoh sejam.

Pengundi Bukit Gasing boleh memuat turun aplikasi menerusi pautan https://doctoranywhere.page.link/MY-download-link dan mendaftar nombor kad pengenalan.

Manakala, warga B40 boleh mendaftar menerusi https://dranywhr.my/bghealth-form. Sistem ini mengambil masa kira-kira tujuh hari bekerja untuk mengemas kini harga bagi penduduk yang layak mendapat subsidi.

Orang ramai boleh melayari doctoranywhere.my/bukitgasinghealth untuk maklumat lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619