AGENDA

Malaysia naib juara Kumpulan B selepas tewas kepada India di BAMTC

17 Feb 2023, 1:02 AM
Malaysia naib juara Kumpulan B selepas tewas kepada India di BAMTC

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib johan selepas tewas pada India 1-4 dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.

Perseorangan lelaki nombor sembilan dunia, HS Prannoy mengumpul mata sulung untuk India apabila beliau bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan jaguh negara Lee Zii Jia, 18-21, 21-13, 25-23 dalam perlawanan pembukaan.

Kemenangan Prannoy memberi lebih keyakinan kepada juara dunia perseorangan wanita 2019, Pusarla V Sindhu, yang mudah menundukkan pemain muda negara Wong Ling Ching, 21-13, 21-17.

Juara dunia, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengurangkan defisit kekalahan dengan menewaskan Dhruv Kapila-Chirah Shetty, 21-16, 21-10.

Bagaimanapun, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, yang menduduki ranking ke-19 dunia, muncul wira India selepas mereka mengejutkan beregu wanita utama Malaysia yang juga beregu nombor lima dunia Pearly Tan-M Thinaah, 23-21, 21-15, sekali gus menjadikan India juara kumpulan.

Beregu campuran nombor 26 dunia, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto, melengkapkan kemenangan India dengan meraih mata keempat, meskipun berdepan tentangan hebat daripada gandingan meningkat naik negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-19, 19-21, 21-16.

Sementara itu, Kazakhstan menduduki tempat ketiga Kumpulan B selepas mengalahkan UAE, 3-2.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan mara ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik layak secara automatik untuk Piala Sudirman.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619